Theme: Blue and Green Theme: Red Theme: Green
Teks Ucapan YB SUK di Majlis Perasmian Kejohanan Golf Berpasukan MAKSAK Malaysia 2015 pada 20 Mac 2015 di Merdeka Palace Hotel & Suites, KuchingTeks Ucapan YB SUK di Majlis Perasmian Kejohanan Golf Berpasukan MAKSAK Malaysia 2015 pada 20 Mac 2015 di Merdeka Palace Hotel & Suites, Kuching

UCAPAN YB TAN SRI DATUK AMAR HAJI MOHAMAD MORSHIDI BIN ABDUL GHANI,

SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI SARAWAK MERANGKAP YANG DIPERTUA MAKSAK SARAWAK

MAJLIS PERASMIAN KEJOHANAN GOLF BERPASUKAN MAKSAK MALAYSIA 2015

 Pada 20 Mac 2015 (Jumaat), 7:00 malam | Merdeka Palace Hotel & Suites, Kuching


  1. Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan kesyukuran terhadap Allah SWT kerana dengan limpah dan kurniaNya, kita dapat bersama pada malam ini bagi Majlis Jamuan Makan Malam dan Perasmian Kejohanan Golf Berpasukan MAKSAK Malaysia 2015. Bagi pihak MAKSAK Sarawak, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat, Menteri Pembangunan Sosial yang telah sudi untuk meluangkan masa untuk merasmikan majlis kita pada malam ini. Terima kasih juga kepada semua hadirin sekalian, terutama rakan-rakan kita dari Semenanjung yang hadir pada majlis ini.
  2. Kesempatan ini juga saya ingin merakamkan terima kasih kepada MAKSAK Malaysia kerana telah memberi penghormatan kepada MAKSAK Negeri Sarawak sebagai tuan rumah kejohanan golf berpasukan pada tahun ini. Untuk makluman Yang Berhormat dan tetamu jemputan sekalian, kesemua 18 buah Badan Gabungan MAKSAK Malaysia telah menyertai kejohanan pada kali ini di mana acara gross diadakan di Kelab Golf Sarawak sementara acara nett diadakan di Samarahan Country Club.
  3. Yang Berhormat dan hadirin sekalian. Penganjuran aktiviti-aktiviti sukan, rekreasi dan kebajikan oleh MAKSAK merupakan salah satu platform yang amat penting dalam memupukkan semangat kerja berpasukan di kalangan penjawat awam serta merapatkan tali silatul rahim. Melalui aktiviti-aktiviti sedemikianlah kita dapat saling kenal mengenali, bekerjasama, saling belajar di antara satu sama lain, saling mempercayai dan sudah pastinya akan wujud rangkaian atau “networking” yang baik di antara penjawat awam. Seharusnya “networking” yang demikian ini akan membantu melancarkan urusan rasmi atau kerja harian kita sebagai penjawat awam dalam usaha untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
  4. Amalan MAKSAK Malaysia memberi  peluang kepada Badan Gabungan dan Negeri menganjurkan aktiviti secara bergilir-gilir adalah usaha yang kita sambut baik kerana ia memberi peluang kepada Badan Gabungan dan negeri berinteraksi dan berkongsi pengalaman di antara satu sama lain. Sudah semestinya penganjuran aktiviti sedemikian memerlukan koordinasi, perancangan  dan persediaan yang rapi dalam penganjuran acara (event management). Pengalaman dan penyertaan dalam penganjuran aktiviti sedimikian akan mematangkan kita dan menambahkan keyakinan kita dalam merancangkan sesuatu program di masa akan datang.
  5. Kita di dalam pekhidmatan awam negeri Sarawak amat menekankan semangat berpasukan yang tinggi dalam menjalankan tugas dan semangat ini harus diteruskan juga dalam aktiviti sukan dan sosial yang lain. Kita sebagai penjawat awam diingatkan agar senantiasa meluangkan masa sesama kakitangan dan melakukan aktiviti sukan dan senaman agar sentiasa aktif dan sihat. Di samping itu, perjumpaan sebegini juga memberi peluang serta ruang terbaik untuk kita mengeratkan lagi hubungan silaturahim bagi membina pasukan kerja warga jabatan dan agensi yang lebih kukuh dan bersatu.
  6. Dalam konteks kita di negeri Sarawak, penganjuran program MAKSAK juga boleh kita adakan seiiring dengan program turun padang. Peluang dan kesempatan bolehlah digunakan untuk melawat di kawasan-kawasan luar daripada pusat bandar. Umpamanya aktiviti larian kesihatan atau gotong royong boleh diadakan semasa kita melawat ke kawasan tapak projek di luar Bandar. Dengan itu, penyertaan daripada pegawai atasan ataupun pegawai kanan adalah lebih ramai dan kesempatan juga untuk mereka mengetahui apakah isu-isu yang membabitkan projek pembangunan di luar bandar.
  7. Bagi kejohanan golf MAKSAK Malaysia pada tahun ini, adalah juga menjadi harapan kita sebagai penganjur, para peserta terutama rakan-rakan kita dari Semenanjung akan dapat mengambil peluang melalui kunjungan kali ini untuk melawat ke tempat-tempat yang menarik di Sarawak. Kita juga berharap agar kunjungan kali ini bukanlah yang terakhir, tetapi akan sudi untuk berkunjung semula di masa-sama akan datang melalui apa juga program yang dilaksanakan.
  8. Sebagai penutup, sekali lagi saya merakamkan terima kasih kepada YB Tan Sri Dato Sri William Mawan anak Ikom, Menteri Pembangunan Sosial atas kesudian beliau merasmikan majlis kita malam ini. Terima kasih yang tidak terhingga saya kepada semua jabatan dan agensi kerajaan, serta semua pihak yang telah membantu sama ada secara langsung mahupun tidak langsung untuk menjayakan Kejohanan Golf Berpasukan MAKSAK Malaysia untuk kali ini. Kepada semua pasukan yag mengambil bahagian, selamat bertanding, dengan semangat muhibah, kekeluargaan dan kesukanan.
  9. Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalam mualaikum warahmataullahi wabarakatuh