Theme: Blue and Green Theme: Red Theme: Green
Program Literasi Undang-Undang Siri II "Strategic Roles of Women In Changing Environment: Knowing The Rights!" Program Literasi Undang-Undang Siri II "Strategic Roles of Women In Changing Environment: Knowing The Rights!"

PROGRAM “STRATEGIC ROLES OF WOMEN IN CHANGING ENVIRONMENT: KNOWING THE RIGHTS

UCAPAN ALU-ALUAN SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI SARAWAK

15 Jun 2015 (Isnin), 8:00 pagi | Bilik Gerakan, Tkt. 2, WBM

 

SALUTASI

Assalamualaikum w.b.t., salam sejahtera dan salam 1Malaysia.
           

KATA PENGHARGAAN

1          Pertama-tama sekali, saya ingin memanjangkan kesyukuran kepada Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnianya, kita berpeluang berkumpul beramai-ramai untuk sama-sama memeriahkan program kita hari ini yang bertemakan “Strategic Roles of Women in Changing Environment: Knowing the Rights”.

2          Saya turut mengucapkan setingi-tinggi terima kasih di atas kehadiran tetamu kehormat kita YB Datuk Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ke acara kita hari ini. Kehadiran beliau amat bermakna kerana ia membuktikan betapa tingginya komitment beliau dan Kementerian Pembangunan Wanita dalam memperkasakan peranan, sumbangan dan hak Kaum Hawa dalam usaha mereka untuk sama-sama merealisasikan Visi dan Misi Kerajaan Sarawak.

3          Ucapan terima kasih juga harus diberikan kepada mereka yang telah bertungkus-lumus berusaha untuk memastikan program ini menjadi satu kenyataan. Dengan sambutan yang begitu hebat untuk program ini, jelas bahawa segala usaha dan titik peluh mereka telah berbaloi.

4          Terima kasih juga kepada semua yang hadir menyambut baik jemputan kami dan memeriahkan acara hari ini. Secara jujur, saya dapat merasakan kehebatan semangat para wanita dan lelaki yang berdiri di depan saya. Saya pasti semua yang hadir ini turut merasakan semangat yang sama.

Hadirin yang dihormati,


SIGNIFIKAN PROGRAM

5          Program ini sangat relevan kerana ia melibatkan golongan wanita yang memainkan peranan yang amat signifikan di dalam pelbagai aspek kehidupan kita. Ia haruslah disertai dan disokong oleh setiap lapisan masyarakat kerana ia menekankan kepentingan mengenali hak-hak wanita bagi memastikan gender ini terus memainkan peranan yang strategik dalam iklim sosio-ekonomik dan politik yang kian berubah.

6          Tidak sesuai lagi kita berpaksikan kata-kata lama yang mengumpamakan “Di belakang setiap lelaki berdirinya seorang wanita”. Hakikatnya, wanita merupakan strategic partner kita yang sama-sama berperanan penting serta memberikan sumbangan yang besar kepada pembangunan negara. Hak, peranan dan sumbangan para wanita bukan sahaja harus kita hargai dan wajar kita berikan pengiktirafan, tetapi juga haruslah dilihat daripada konteks yang lebih luas dan difahami oleh setiap lapisan masyarakat. Kita harus bersedia melakukan satu anjakan paradigma dan mengiktirafkan bahawa wanita berdiri sama tinggi dan mempunyai peranan yang sama penting dengan lelaki.

7          Oleh itu, amat wajar program-program seumpama ini diadakan sebagai wadah penting yang membolehkan kita mendidik masyarakat tentang kepentingan memahami hak-hak wanita pada hari ini dan sekaligus membetulkan tanggapan-tanggapan yang kurang tepat tentang hak dan peranan wanita yang mungkin wujud di kalangan segelintir individu terutamanya dalam memberi kefahaman kepada golongan lelaki, kerana merekalah yang perlu mempertahankan dan menjaga wanita-wanita dan pasangan di sisi mereka.

8          Sehingga kebelakangan ini, terdapat kemajuan dari segi penglibatan wanita dalam menggerakkan ekonomi dan pentadbiran negara. Oleh itu, ia adalah amat penting untuk kita terus memperbetulkan tanggapan-tanggapan yang kurang tepat agar kita boleh terus memacu ke arah membentuk negara yang maju dan yang bebas dari diskriminasi gender.

9          Dalam usaha memperbetulkan persepsi yang negatif ini, kita haruslah mendidik masyarakat tanpa mengira lelaki mahupun wanita. Ini kerana tanggapan yang negatif terhadap kaum wanita tidak terhad kepada Kaum Adam sahaja, tetapi masih menular di kalangan segelintir wanita yang kurang jelas tentang hak-hak dan peranan-peranan mereka dalam membangunkan sosio-ekonomik negeri dan negara.

 

TANGGAPAN-TANGGAPAN NEGATIF YANG PERLU DIPERBETULKAN

10        Pertama, masih ada segolongan masyarakat yang mempunyai tanggapan yang konservatif dan tidak lagi relevan untuk diguna-pakai pada era ini. Golongan ini masih melihat peranan wanita berdasarkan skop yang kecil dan menghadkan peranan Kaum Hawa ini kepada domain  kekeluargaan sahaja. Hakikatnya, domain kekeluargaan adalah tugas dan tanggungjawab yang harus dipandang serius oleh kedua-dua lelaki dan wanita, lebih-lebih lagi apabila wanita kian memegang peranan yang sama penting dengan kaum lelaki dalam dunia pekerjaan. Apabila peranan kekeluargaan dianggap tanggungjawab wanita sahaja, para wanita mungkin merasakan mereka tidak mampu memegang peranan yang besar di dalam perkhidmatan awam ataupun swasta.

11        Ada juga segelintir individu yang masih bertanggapan bahawa tugas untuk memperkasakan kaum wanita dan hak-hak mereka terletak di bahu kerajaan  khususnya Kementerian Pembangunan Wanita. Ini tidak benar sama sekali kerana usaha ini haruslah disokong oleh setiap lapisan masyarakat. Setiap individu harus berperanan untuk memotivasikan para wanita agar mereka tidak terkilan kerana merasakan bahawa mereka bersendiri berada dalam usaha ini. Ini harus kita mulakan dengan mendidik masyarakat dengan baby steps. Contohnya, kita boleh mulakan usaha ini dari rumah dengan mendidik anak-anak dan orang disekeling kita tentang hak-hak wanita yang harus dihormati bersama.

12        Ada juga wanita yang masih beranggapan bahawa mereka tidak setara dan tidak mampu menandingi kaum lelaki. Wanita haruslah memperbetulkan tanggapan tentang diri mereka dan mempunyai transformasi minda. Mereka harus berani untuk mengangkat martabat mereka ke peringkat yang lebih tinggi dan membanggakan dengan menyandang lebih banyak peranan-peranan yang lebih strategik.

13        Mereka juga harus melangkah setapak ke hadapan dengan memperkukuh dan menambah baik usaha-usaha yang sedia ada. Wanita tidak boleh terus berada di takuk lama dan mengadakan aktiviti-aktiviti mahupun program yang rutin dan membosankan. Sebaliknya, wanita harus aktif terlibat dalam mengadakan aktiviti dan program yang berlandaskan objektif untuk memberikan nilai tambah yang signifikan kepada para wanita melalui perkongsian ilmu dan aktiviti yang menyuntik semangat. Ini sebagai usaha untuk memotivasikan wanita agar berani keluar daripada zon selesa masing-masing dan berfikiran luar daripada jangkauan agar mereka dapat menerima idea-idea dan peranan-peranan yang baru. Kita tidak dapat sekadar bergantung kepada populasi wanita yang memegang peranan-peranan strategik dalam Perkhidmatan Awam dan Swasta sekarang tetapi harus terus mampu meningkatkan jumlah wanita yang terlibat dalam peranan-peranan penting di masa hadapan.

14        Jika kita secara berterusan mendidik setiap peringkat masyarakat tentang hak-hak wanita dan peranan mereka yang strategik di zaman ini melalui program-program kemasyarakatan seperti yang kita lakukan hari ini, kita akan berjaya mempercepatkan serta mempermudahkan penglibatan para wanita dalam peranan-peranan yang lebih strategik di peringkat negeri dan negara.

 

INISIATIF-INISIATIF DI BAWAH PELAN TRANSFORMASI SARAWAK

15        Bagi Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak, pelbagai inisiatif telah dirancang dan dilaksanakan dalam usaha untuk memartabatkan kaum wanita dan menggalakkan lebih ramai wanita untuk terlibat dalam memegang peranan yang lebih signifikan. Pada tahun 2010, Kerajaan negeri telah melancarkan Program Transformasi Sarawak yang strategik dan komprehensif melalui Sarawak Action Plan 10-20. Dengan adanya pelan in, Kerajaan lebih agresif melaksanakan inisiatif bagi menambah jumlah wanita dalam Perkhidmatan Awam. Ini tepat dengan Visi dan Misi Sarawak untuk bertaraf dunia dan mempunyai tenaga kerja yang profesional dan berkompeten tinggi.

 

Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga

16        Salah satu langkah Kerajaan Negeri mengiktiraf peranan dan sumbangan kaum wanita dalam arus pembangunan serta menggalakkan wanita terlibat dalam mengerakkan ekonomi negeri ialah menerusi penubuhan Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga pada bulan September 2011.  Penubuhan Kementerian ini memperlihatkan komitmen Kerajaan Negeri untuk mensejahterakan rakyat melalui penginsanan perkhidmatan kebajikan, pengupayaan dan pemerkasaan wanita, pengukuhan institusi keluarga, dan pemantapan pendidikan serta pembangunan jati diri generasi muda.

17        Sejak ditubuhkan, Kementerian ini telah diamanahkan untuk melihat secara khusus hal-ehwal wanita dan pembangunan keluarga selain hal-hal kebajikan dan setakat ini ia telah menjalankan amanahnya dengan baik sekali. Ia bukan sahaja memberikan manfaat kepada para wanita dalam agenda pembangunan negeri Sarawak melalui program dan aktiviti pembangunan tetapi turutsama menjadi pemikir, pencetus, perancang dan pelaksana bagi inisiatif yang memperkasakan kaum wanita. 

 

Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS)

18        Kerajaan Negeri juga pada tahun 2014 telah menaiktaraf Biro Wanita sebagai sebuah jabatan kerajaan dikenali sebagai Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS). Dengan penaiktarafan ini, ia membolehkan JWKS memberikan bantuan yang lebih efektif kepada organisasi bagi memastikan hal-ehwal pembangunan wanita dan keluarga ini menjadi lebih berwibawa, bertenaga dan berkesan dalam menjalankan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepadanya. Antara sumbangannya yang signifikan adalah menjadi urus setia kepada MPWK dan menjadi penyelaras programnya di 31 parlimen di Negeri Sarawak. JWKS turut berperanan sebagai penyelaras kepada 117 NGO yang berdaftar dengannya. Ini adalah suatu pencapaian yang harus kita banggakan.

 

Aspek Pembangunan Kerjaya

19        Bagi menggalakkkan lebih ramai wanita berkhidmat untuk Perkhidmatan Awam Sarawak, Kerajaan negeri juga telah banyak melakukan transformasi di peringkat organisasi. Antaranya ialah dengan membawa pembaharuan dari aspek Talent Management. Pada tahun 2012, Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak telah mewujudkan satu sistem pengambilan dan lantikan yang baru dan komprehensif dengan memperkenalkan ‘5-Phase Framework’ dan SCS Assessment Centre. Berdasarkan sistem ini, pengambilan dan kenaikan pangkat penjawat awam tidak lagi bersandarkan kepada temuduga semata-semata. Sebaliknya, calon-calon dikehendaki melalui 5 fasa ujian sebelum terpilih menjadi penjawat awam. Ini termasuk proses penyaringan awal, ujian bertulis, Assessment Centre, Structured Interview dan Ujian Psikometrik. Dengan  wujudnya sistem ini, PANS memastikan bahawa pemilihan penjawat am dilakukan secara telus dan saksama dan setiap calon yang dipilih untuk menyertai Perkhidmatan Awam Sarawak terpilih berasaskan kompetensi dan kredibiliti.

 

Aspek Latihan dan Pembangunan Profesional

20        Kerajaan Negeri juga meningkatkan kebolehan para penjawat awam melalui latihan-latihan berbentuk kompetensi. Pada tahun 2012, sebuah Competency Dictionary telah siap dibukukan untuk Jabatan ketua Menteri, Pejabat Residen dan Daerah serta Jabatan Kerja Am. Sistem ini bukan sahaja efektif dalam memilih jenis latihan yang perlu tetapi juga mengelakkan kekurangan seperti gender-bias dengan memberikan peluang sama rata kepada setiap penjawat awam untuk membangun dan memajukan diri bagi tujuan pembangunan kerjaya masing-masing. Bagi wanita yang mungkin merasakan kompetensi mereka tidak setara berbanding lelaki, latihan dan pembangunan professional yang dibekalkan sepanjang perkhidmatan memastikan bahawa mereka diberikan peluang yang besar untuk mengembangkan kompetensi mereka dan tidak perlu risau bahawa mereka akan ketinggalan dengan Kaum Adam.

 

Merubah dan Mengubal Perundangan yang Mendiskriminasi Wanita

21        Di peringkat yang lebih tinggi, Kerajaan juga telah membuktikan komitmen mereka tehadap pemerkasaan wanita melalui kesediaan untuk menggubal dan merubah dasar-dasar yang gender-sensitive. Ini ditekankan sendiri oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dalam acara Perasmian Sambutan Hari wanita Tahun 2014 Peringkat Negeri Sarawak.

22        Selaras dengan polisi di peringkat kebangsaan, antara pendekatan yang diambil adalah dengan memperkenalkan dasar yang mensasarkan 30% wanita di peringkat pembuat keputusan.  Dijangka pada tahun 2016, lebih ramai wanita lagi akan memegang peranan-peranan yang strategik dan menjadi kumpulan Pembuat Keputusan di peringkat negeri ataupun negara.

23        Sehingga tahun 2013, penglibatan wanita dalam kategori pembuat dasar adalah kurang daripada 15%. Kini, direkodkan sejumlah 20.57% wanita di peringkat pembuat keputusan.

24        Peningkatan yang membanggakan dalam unjuran ini menunjukkan bahawa komitmen kerajaan untuk menghapuskan Diskriminasi Gender dan Jurang Gender di tahap yang tertinggi adalah serius. Ia turut menunjukkan bahawa wanita Sarawak kini lebih bersedia untuk memikul peranan-peranan yang signifikan dalam masyarakat berbanding masa lalu.

25        Walaubagaimananapun, kita tidak harus sekadar berpuashati dengan status-quo. Sepertimana yang saya telah katakan, kita harus terus berusaha mendidik masyarakat dan mengalakkan penglibatan wanita terutamanya dalam memegang peranan-peranan strategik. In penting untuk kita memastikan generasi akan datang akan terus dapat menikmati sebuah negara yang aman dan maju.

26        Yang pasti, kejayaan ini bukan sekadar kerana hari ini. Ia adalah hasil daripada pelbagai  inisiatif yang telah didukung PANS selama bertahun-tahun terutamanya di bawah pelan Transformasi Sarawak. Ia melibatkan usaha yang amat intensif dan kerjasama yang erat daripada pelbagai pihak terutamanya dengan Kerajaan Persekutuan dan badan-badan NGO.

 

PENUTUPAN

27        Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Penganjur di atas kejayaan program ini dan terima kasih yang tidak terhingga sekali lagi kepada semua yang komited untuk hadir hari ini.

28        Kepada tetamu khas kita YB Datuk Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, saya bagi pihak Jabatan Ketua Menteri mengucapkan setingi-tinggi penghargaan sekali lagi atas kesudian YB Datuk ke acara hari ini. Semoga segala ilmu yang kita kongsikan bersama hari ini menjadi penyuntik semangat untuk kita terus memartabatkan dan memperkasakan kaum wanita.

32        Inn Sha Allah. Assalamualaikum dan selamat penting.