Theme: Blue and Green Theme: Red Theme: Green
Karnival 1Pesara Pada 4 Ogos 2015Karnival 1Pesara Pada 4 Ogos 2015

TEKS UCAPAN

YB TAN SRI DATUK AMAR HAJI MOHAMAD MORSHIDI BIN ABDUL GHANI,

SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI SARAWAK

4 Ogos 2015 


Assalamualaikum  Warrahmatullahi  Wabarakatuh

Salam Sejahtera

Salam “1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

 

YBhg. Tan Sri Mohammad Zabidi Zainal

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia

YBhg Datuk Haji Md Yahya bin Hj Basimin

Setiausaha Persekutuan Sarawak

Yang Berusaha Dr Sabariah Putit

Pengarah Unit Sumber Manusia Negeri, Jabatan Ketua Menteri

 

Ketua – Ketua Jabatan serta Agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan

Tan Sri – Tan Sri, Datuk – Datuk

Tuan – tuan dan puan – puan yang saya hormati sekalian.

 

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya jua kita dapat bersama-sama dalam Karnival 1Pesara yang julung-julung kalinya diadakan di Bumi Kenyalang ini dengan tema “Pesara Sejahtera, Generasi Terpilihara”. Karnival ini telah direalisasikan hasil jalinan kolaborasi dan kerjasama padu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)  bersama-sama Kerajaan Negeri Sarawak. Ribuan terima kasih diucapkan.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kehadiran Yang Berbahagia Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam kerana sudi meluangkan masa bersama-sama kita sekaligus menyempurnakan perasmian Karnival 1Pesara@Sarawak pada hari ini.  Pihak Kerajaan Negeri Sarawak amat berbesar hati kerana Jabatan Perkhidmatan Awam, JPA memilih Negeri Sarawak sebagai destinasi untuk mempromosi dan menguar-uarkan inisiatif 1MCSRS, iaitu 1Malaysia Civil Service Retirement Support kepada pesara dan bakal pesara. 

Selaku tuan rumah, pihak Kerajaan Negeri Sarawak amat berbesar hati atas kesudian para jemputan, terutamanya golongan pesara dan bakal pesara Kerajaan, penjawat awam dari Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta Veteran Angkatan Tentera Malaysia serta tuan-tuan dan puan-puan sekaliannya yang turut sama-sama menjayakan penganjuran Karnival yang berlangsung selama dua hari ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya kasihi sekalian, 

Penganjuran Karnival 1Pesara@Sarawak di Kuching amat istimewa kerana ia bertepatan dengan pengisytiharan Kuching sebagai 'Bandaraya Perpaduan' oleh Ketua Menteri Sarawak, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan bin Haji Satem  pada 1 Ogos yang lalu.  Bandaraya Kuching yang dihuni lebih 600,000 penduduk yang terdiri daripada 30 etnik ketika ini, sememangnya wajar menjadi contoh kepada dunia bagaimana toleransi antara kaum menjadi asas kepada pewujudan sebuah bandaraya yang harmoni, pesat membangun serta menjunjung teguh konsep perpaduan dalam kepelbagaian.

Keharmonian dan perpaduan ini adalah outcome atau keberhasilan signifikan yang menyumbang kepada peningkatan produktiviti penjawat awam agar melaksanakan tugas dengan lebih bersemangat, bertanggungjawab, ikhlas dan amanah.  Pada 3 Julai yang lepas, saya difahamkan Yang Berbahagia Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal telah melawat  Urban Transformation Centre (UTC) Kuching secara mengejut. Saya juga mendapat makluman bahawa Yang Berbahagia Tan Sri amat berpuas hati dan memberi pujian terhadap keberkesanan pengoperasian dan penyampaian perkhidmatan yang efisien di UTC tersebut. Tahniah saya ucapkan kepada penjawat awam Negeri dan Persekutuan di Sarawak atas komitmen dan prestasi yang tidak berbelah bahagi ditunjukkan dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.Sama-samalah kita mengekalkan momentum kecemerlangan ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya kasihi sekalian, 

Objektif utama Karnival 1 Persara ini diadakan adalah bagi mewar-warkan program-program inisiatif 1Pesara seperti pengurusan kewangan dan pembangunan keusahawanan/francais, kelangsungan kesihatan dan panduan bekerja semula.

Keduanya adalah bagi memberikan pendedahan awal mengenai peluang-peluang menaiktaraf hidup selepas persaraan agar terus produktif dalam menyusuri alam persaraan.

Ketiga adalah bagi memberi pendedahan kepada pesara dan kakitangan awam mengenai pengurusan kewangan dan peluang dalam bidang keusahawanan serta francais.

Untuk makluman, jumlah pesara Kerajaan Negeri pada tahun ini adalah seramai 530 orang.  Daripada jumlah ini seramai 5 orang adalah dari Pengurusan Tertinggi, 29 orang dari Pengurusan Profesional dan 496 orang dari Kumpulan Sokongan.  Manakala pada tahun 2016, seramai 610 orang pegawai Kerajaan Negeri akan bersara. Daripada jumlah ini, seorang dari Pengurusan Tertinggi, 26 orang dari Pengurusan Profesional dan 582 orang dari Kumpulan Sokongan.

Di peringkat Kerajaan Negeri, pihak kita telah berkerjasama dengan JPA, Bahagian Pasca Perkhidmatan menganjurkan beberapa siri Jelajah Dan Pelaksanaan Faedah Terbitan Dan Pesaraan berserta dengan seminar  yang meliputi zon Kuching ( 20 Januari 2014) , Sibu (22 Januari 2014) dan Miri (24 Januari 2014) pada tahun 2014 yang melibatkan seramai 1200 orang  bakal pesara yang akan bersara pada tahun 2015 hingga 2017.

Saya amat menghargai usaha gigih berterusan penjawat awam dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan komitmen tersebut kita telah tafsirkan ke dalam visi kita iaitu Perkhidmatan Awam Bertaraf Dunia dan misi Untuk Menyampaikan Perkhidmatan Cemerlang Melalui Pasukan Kerja Berprestasi Tinggi. Visi dan misi ini merupakan komitmen kita untuk mentransformasikan Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak agar menjadi lebih efektif dalam penyampaian perkhidmatan. Pendekatan ini akan memudahkan transformasi Sarawak sejajar dengan visi kepimpinan kita untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi dan akhirnya mempertingkat kualiti hidup rakyat.

Untuk mencapai objektif ini, kita telah memperkenalkan Pelan Tindakan Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak 2010-2020 atau SCS 10-20 Action Plan yang merangkumi lapan bidang utama iaitu Pengurusan Perubahan Budaya, Pengurusan Bakat Sumber Manusia, Pengurusan Keperluan Pelanggan, Inovasi dan Kreativiti, e-Kerajaan, Kecermelangan Penyampaian Projek dan program, Transformasi Pengurusan Kewangan dan Kecermelangan Pentadbiran Perkhidmatan Perundangan.

Pelan tersebut dibangunkan bertujuan untuk:

  • Menyediakan platform yang kukuh untuk menjadi Perkhidmatan Awam Bertaraf Dunia;
  • Untuk mempercepatkan pelaksanaan menyeluruh di bawah inisiatif transformasi kerajaan negeri;
  • Untuk bertindak sebagai sumber rujukan yang penting bagi agensi melaksanakan transformasi masing-masing;

Bagi membangunkan perkhidmatan awam yang berlandaskan budaya kecermelangan, Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak telah mengamal nilai bersama yang berteraskan integrity, kind and caring, professionalism, sense of urgency and ownership, team-spirit and result oriented. Kesemua ini telah menjadi budaya baru dalam Perkhidmatan Awam Negeri sekarang.

Saya gembira melihat aktiviti-aktiviti berpasukan tinggi telah menjadi budaya kita dalam usaha untuk mencapai kecermelangan dalam perkhidmatan awam yang bertujuan untuk meningkatkan kebajikan rakyat, pembangunan negeri dan kualiti hidup yang mampan untuk generasi akan datang.

Kepada pesara dan bakal pesara, 

Walaupun tuan-tuan dan puan-puan telah dan akan bersara, perhubungan kita tidak akan terhenti semata-mata kerana tuan-tuan dan puan-puan telah berhenti melakukan kerja-kerja sebagai seorang penjawat awam. Bersara bukanlah titik noktah untuk berkhidmat dan menabur bakti serta memberi sumbangan kepada Negara. Tuan-tuan dan puan-puan adalah merupakan aset Negara, yang mempunyai pengalaman luas ketika berkhidmat dengan Kerajaan yang boleh membantu membangunkan dan memajukan Negara dengan melibatkan diri dengan Persatuan-persatuan Sukarela dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi membalas jasa Kerajaan dan Negara. 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya kasihi sekalian, 

Penganjuran Karnival 1Pesara ini merupakan platform untuk pesara dan bakal pesara Kerajaan untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai program-program inisiatif 1Pesara, peluang-peluang menaiktaraf hidup selepas persaraan dan juga mengenai pengurusan kewangan dan peluang dalam bidang keusahawanan serta francais.

Saya percaya dengan pelaksanaan Karnival 1Pesara@Sarawak ini akan membantu golongan pesara dan bakal pesara untuk terus produktif dalam menyusuri alam persaraan dan tidak putus menyumbang kepada Negara, seterusnya mengekalkan jaringan keharmonian di kalangan pesara dengan Kerajaan.

Inisiatif ini juga merupakan satu lagi manifestasi keprihatinan Kerajaan kepada golongan pesara Kerajaan yang telah banyak menabur budi dan jasa bakti sepanjang berada dalam tempoh perkhidmatan.

Kepada yang telah dan akan bersara saya ucapkan selamat bersara. Ribuan terima kasih diucapkan di atas perkhidmatan, sumbangan dan pengorbanan yang tuan-tuan dan puan-puan curahkan selama berpuluh-puluh tahun untuk perkhidmatan awam, iaitu berkhidmat untuk rakyat. Jasa dan bakti tuan-tuan dan puan-puan amatlah dihargai. Kami doakan agar tuan-tuan dan puan-puan akan terus sihat sejahtera dalam meneruskan kehidupan seharian.

Saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas sokongan padu dan kerjasama erat yang dizahirkan oleh wakil-wakil kementerian dan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam menjayakan program ini.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.