Theme: Blue and Green Theme: Red Theme: Green
Majlis Perasmian Pecah Tanah Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Pada 4 Ogos 2015Majlis Perasmian Pecah Tanah Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Pada 4 Ogos 2015

TEKS UCAPAN

YANG BERHORMAT SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI SARAWAK

MAJLIS PERASMIAN PECAH TANAH CENTEXS KAMPUS LUNDU

4 OGOS 2015


Terima kasih pengacara Majlis 

Bismillahirrahmanirrahim 


Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Haji Adenan Bin Haji Satem, Ketua Menteri Sarawak Serta Isteri, Yang Amat Berbahagia Datin Patinggi Dato Hajah Jamilah Binti Haji Anu 

Yang Berhormat Timbalan Ketua Menteri, Menteri-Menteri Dan Menteri-Menteri Muda 

Ahl-Ahli Yang Berhormat 

Tan Sri-Tan Sri, Datuk Datuk 

Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Masyarakat, Para Guru, Para Pelajar

Tuan-Tuan Dan Puan-Puan Yang Saya Hormati Sekalian


Assalamua’laikum wbt 

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera 

Selamat datang ke Majlis Perasmian Pecah Tanah Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak atau singkatannya CENTEXS, Centre of Technical Excellence Sarawak Cawangan Kampus Lundu pada pagi ini.  

Saya ingin ingin merakamkan ucapan penghargaan dan berbanyak-banyak terima kasih khususnya kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri kita, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Haji Adenan bin Haji Satem serta isteri kerana sudi meluangkan masa untuk hadir ke majlis kita pada pagi ini bagi menyempurnakan Upacara Majlis Pecah Tanah CENTEXS Kampus Cawangan Lundu. 

YANG AMAT BERHORMAT, TAN SRI-TAN SRI, DATUK-DATUK, TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN SEKALIAN 

Sepertimana yang telah kita sedia maklum, pada tahun 2014, Kerajaan Negeri telahpun membuat keputusan untuk Yayasan Sarawak mengambilalih Pusat Latihan Pembangunan Belia (PLPB) yang terletak di Jalan Santubong.  Pengambilalihan tersebut telah menyebabkan penjenamaan semula PLPB kepada nama barunya iaitu Pusat Kecemerlangan Teknikal ataupun singkatannya CENTEXS, Centre of Technical Excellence Sarawak. 

Pengambilalihan tersebut merupakan satu langkah yang proaktif yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri dalam usaha untuk mentransformasikan bidang kemahiran teknikal dan vokasional di Negeri Sarawaksupaya ia selari dengan keperluan guna tenaga mahir di Negeri kita pada masa kini.  Proses menjenamakan semula PLPB kepada CENTEXS bukan hanya melibatkankemudahan fizikal atau infrastruktur pusat latihannya sahaja, malah turut melibatkan transformasi dari segi struktur pengurusan dan pentadbiran CENTEXS sendiri serta program-program yang dijalankan. 

CENTEXS juga menganjurkan pelbagai kursus dan latihan yang dapat menarik minat golongan belia.  Pada masa yang sama para industri diajak untuk sama-sama berganding bahu bagi merangka kurikulum latihan yang sesuai untuk pelatih-pelatih agar selari dengan keperluan industri.  Para pelatih turut dihantar untuk “On Job Training” agar mereka dapat didedahkan dengan suasana pekerjaan dalam industri-industri yang berkaitan. 

Usaha Kerajaan Negeri untuk terus memperkasa dan mempergiatkan pembangunan bidang kemahiran teknikal dan vokasional untuk Negeri Sarawak tidak hanya berhenti setakat menubuhkan CENTEXS yang ada di Kuching sahaja.  Kerajaan Negeri dalam Rancangan Malaysia Ke-11 telah merancang untuk menubuhkan sebanyak tiga (3) buah kampus cawangan CENTEXS dengan anggaran kos sebanyak RM500 juta dalam tempoh lima (5) tahun yang akan datang. 

Kampus Lundu merupakan cawangan CENTEXS yang pertama.  Sebentar lagi kita bakal menyaksikan upacara Majlis Pecah Tanah CENTEXS Kampus Lundu yang akan disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri.  Manakala dua (2) buah lagi cawangan CENTEXS pula dirancangkan untuk ditubuhkan di kawasan-kawasan lain di Sarawak mengikut keperluan dan permintaan. 

CENTEXS Kampus Lundu akan menawarkan tujuh (7) program iaitu Kimpalan 3G Plus, Kimpalan 6G Advance, Mekatronik, Jahitan, Wireman, Hospitality dan Scaffolding.  Setakat ini seramai 60 orang belia telahpun mendaftar sebagai pelajar kumpulan yang pertama CENTEXS Lundu.  Mereka akan memulakan pelajaran mereka pada 7 September ini.  Buat permulaan mereka akan belajar di CENTEXS Kuching sementara menunggu kerja-kerja pengubahsuaian kampus sementara siap.  Kerajaan Negeri telah memberikan kebenaran kepada CENTEXS untuk menggunakan bangunan Pejabat Daerah Lundu yang lama sebagai kampus sementara, sementara menunggu permanent campus siap pada tahun 2016. 

TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN YANG SAYA HORMATI SEKALIAN 

Pada kesempatan ini, saya ingin menyeru kepada para belia dan masyarakat di sekitar Daerah Lundu, Sematan dan Bau supaya mengambil peluang daripada inisiatif Kerajaan menubuhkan Kampus Cawangan CENTEXS di Lundu ini dengan mengikuti latihan kemahiran dan vokasional yang disediakan.  Kita amat menggalakkan para belia yang berminat dan mempunyai bakat dalam bidang kemahiran supaya belajar di CENTEXS kerana pendekatan latihan yang dijalankan oleh CENTEXS adalah lebih praktikal dan hands-on. Latihan yang dijalankan adalah dengan kerjasama pihak industri secaraapprentice ataupun on job training. 

Justeru, adalah menjadi harapan kami di CENTEXS, dengan tertubuhnya Kampus Cawangan Lundu ini, agar lebih ramai lagi para belia yang akan dapat diberikan latihan kemahiran dan teknikal, dan sekaligus akan dapat menyediakan lebih ramai guna tenaga mahir yang diperlukan di Negeri kita ini khususnya untuk projek-projek SCORE.  Adalah dianggarkan bahawa kita memerlukan seramai 350,000 pekerja mahir dalam bidang teknikal dan vokasional untuk mencapai status Negeri Maju menjelang Tahun 2030. 

Pada hari ini juga kita akan menyaksikan Majlis Penganugerahan Penajaan PETRONAS Kepada Sekolah-Sekolah di Bawah Sekolah Amanah dengan Kerjasama Yayasan AMIR.  Program ini merupakan inisiatif usahasama Awam Swasta yang melibatkan Kementerian Pendidikan Malaysia, Yayasan AMIR dan penaja dari sektor swasta yang bertujuan untuk memacu transformasi pendidikan mampan di sekolah-sekolah awam yang berfokuskan Kecemerlangan murid yang menyeluruh. PETRONAS selaku penaja akan menyalurkan penajaannya kepada sekolah-sekolah yang terpilih untuk membiayai pelbagai program seperti kursus pembelajaran dan pembangunan profesional para guru serta barisan kepimpinan sekolah, pelaksanaan pelan penambaikan tahunan Sekolah Amanah, sistem pengurusan prestasi, program kokurikulum serta strategi untuk penglibatan ibu bapa dan komuniti. 

TAN SRI-TAN SRI, DATUK-DATUK, TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN YANG SAYA HORMATI SEKALIAN 

Sekali lagi saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan berbanyak-banyak terima kasih khususnya kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri kita, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Haji Adenan bin Haji Satem serta isteri kerana sudi meluangkan masa hadir ke majlis kita pada pagi ini bagi menyempurnakan Upacara Majlis Pecah Tanah CENTEXS Kampus Cawangan Lundu.  Terima kasih juga saya ucapkan kepada Menteri-Menteri, Menteri Muda-Menteri Muda, Ahli-Ahli Yang Berhormat,  Ketua-Ketua Jabatan atau wakil, Ketua-Ketua Masyarakat, komuniti kampung, anak-anak pelajar, tuan-tuan dan puan-puan semua.  Tidak lupa juga terima kasih saya ucapkan di atas kehadiran rakan-rakan kerjasama kita daripada industri seperti PETRONAS serta pusat-pusat latihan kemahiran. 

Sekian, terima kasih. 

Wassalam wbt.