Theme: Blue and Green Theme: Red Theme: Green
Majlis Ramah Tamah Aidilfitri CENTEXS 2015 Pada 10 Ogos 2015Majlis Ramah Tamah Aidilfitri CENTEXS 2015 Pada 10 Ogos 2015

TEKS UCAPAN

YB Tan Sri Datuk Amar  Haji Mohamad Morshidi bin Abdul Ghani

Pengerusi

Centre of Technical Excellence Sarawak (CENTEXS)

Majlis Ramah Tamah Aidilfitri CENTEXS 2015

10 Ogos 2015, Cafeteria CENTEXS


 

Bismilahirrahmaanirrahim

Assalamu’laikum warahmatullahi wabarakatuh dan Selamat Sejahtera 

Terima kasih Saudara Pengacara Majlis

 

Yang Berbahagia Datu Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki,

Pengarah Yayasan Sarawak merangkap Lembaga Pengarah CENTEXS

Yang Berbahagia Prof. Dr. Abdul Rahman Deen,

Pengarah Unit Pembangunan Tenaga Kerja, Jabatan Ketua Menteri

merangkap Lembaga Pengarah CENTEXS

Yang Berbahagia Dr. Asleena binti Haji Helmi

Lembaga Pengarah CENTEXS 

Yang Berusaha Haji Syeed Mohd. Hussien Abdul Rahman

Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS

 

Syarikat Rakan kongsi CENTEXS

Pengurus-pengurus CENTEXS,

Wargakerja CENTEXS,

Pelajar-pelajar CENTEXS yang saya kasihi,

Para tetamu jemputan

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.

 

Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. 

Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga kerja CENTEXS serta hadirin sekalian. 

Saya berasa sungguh gembira kerana pada pagi ini kita dapat bersama-sama meraikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2015 dengan penuh rasa muhibbah dan di dalam suasana mesra dan terbuka. 

Adalah menjadi harapan saya agar majlis pada pagi ini dapat memberi peluang kepada semua warga kerja CENTEXS untuk merapatkan silaturrahim sambil menikmati juadah yang disediakan. Secara tidak langsung, ianya dapat mewujudkan semangat kekeluargaan dan mengukuhkan perpaduan sesama kita.  Ia juga memberi kesempatan kepada kita untuk saling bermaaf-maafan dan juga mengukuhkan lagi persahabatan yang sedia terjalin. 

Walaupun semangat kekeluargaan di tempat kerja tidak setebal pertalian keluarga sendiri, tetapi ia tidak kurang pentingnya di dalam menentukan keharmonian sesebuah organisasi, dan seterusnya negara. Sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai bangsa dan kaum, kita seharusnya mengamalkan sikap muafakat dan bekerjasama di antara satu sama lain bagi menyumbang kepada pembangunan Negara dan seterusnya membawa kepada kebaikan bersama. 

Sejak CENTEXS ditubuhkan Oktober 2014 yang lepas, kita kini mempunyai 102 Alumni. Seramai 141 pelatih telah selesai pembelajaran dan menunggu untuk sesi konvokesyen.  Selain itu, 186 pelatih menjalankan latihan industri di industri-industri pilihan mereka dan 245 pelatih masih melalui pembelajaran di Kolej CENTEXS. Walaupun hanya berumur 10 bulan, kita telah mengambil pelatih berjumlah 674 pelatih sehingga kini. Saya berharap, kesemua pelatih CENTEXS dapat menjadi pekerja yang berkualiti, efektif dan produktif dengan disiplin yang tinggi. 

Bagi mencapai perkara ini, tenaga pengajar dan pengurusan CENTEXS memainkan peranan membentuk pelatih-pelatih ini. Saya dan Ahli Lembaga Pengarah CENTEXS berharap anda memberikan komitmen yang tinggi bagi membentuk pelatih-pelatih ini kerana mereka adalah tunjang negara. Dengan adanya latihan kemahiran ini, kita dapat membantu para belia untuk maju, menjadi seorang yang mahir dan profesional. 

Sebelum mengundur diri, saya ingin merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan sambutan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri CENTEXS 2015. 

Dengan itu, saya sekali lagi mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh wargakerja CENTEXS dan juga hadirin sekalian.

 

Sungai disusur sehari-hari

Dalam gelap menangkap ikan

Mari menyusun sepuluh jari

Salah dan silap harap maafkan 


Sekian, terima kasih. 

Wabillahitaufiq walhidayah

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh